KOTA KINABALU, 21 Sept — Bekas Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Yahya Lampong meninggal dunia pada usia 86 tahun di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada kira-kira 6 pagi tadi.
Berita pemergian bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar itu disahkan anaknya Masley Yahya menerusi hantaran di Facebook, namun tidak menyebut punca kematian.
“Semoga Allah SWT mengampuni dosanya, mencurahkan rahmat ke atasnya dan mengurniakan Jannatul Firdaus. Amin. Mohon doakan papa dalam doa kalian,” katanya dalam hantaran itu.
Masley berkata jenazah dibawa ke Masjid Nurul Islam, Ampang untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan selepas solat Zuhur.
Allahyarham berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud dari 1982 hingga 1986 selepas memenangi kerusi itu atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum 1982.
Beliau turut menjadi wakil rakyat bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk atas tiket Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dari 1985 hingga 1986.
Kerjaya politik Allahyarham bermula pada 1981 apabila bertanding di kerusi DUN Usukan atas tiket Parti BERJAYA.
Allahyarham juga pernah bertanding di kerusi Parlimen Papar mewakili PKR pada 2013.

















Tinggalkan Balasan