MQA, FIBAA Sepakat Perkukuh Pengiktirafan Kelayakan Pendidikan Tinggi

KUALA LUMPUR, 6 Nov — Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Foundation for International Business Administration Accreditation (FIBAA), badan akreditasi antarabangsa yang berpangkalan di Jerman bersetuju melaksanakan pengiktirafan bersama bagi memperkukuh jaminan kualiti pendidikan tinggi serta mempermudah kerjasama antara institusi pendidikan tinggi (IPT) kedua-dua negara.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata kesepakatan itu dicapai menerusi penganjuran kali pertama Malaysia-German Higher Education Summit 2026, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada universiti Malaysia dan Jerman meneroka kerjasama strategik serta penyelidikan.

Beliau berkata inisiatif itu turut memberi peluang kepada universiti awam dan swasta di Malaysia untuk memperluas jaringan antarabangsa menerusi pelaksanaan program dwiijazah, ijazah berganda, pertukaran pelajar serta penyelidikan kolaboratif.

“Kami mengalu-alukan universiti di Malaysia untuk mengambil peluang ini dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama universiti di Jerman,” katanya dalam satu kenyataan.

Sidang kemuncak anjuran MQA, FIBAA dan Education Malaysia Global Services (EMGS) yang berlangsung di Berlin pada 4 dan 5 Nov itu turut memberi tumpuan kepada isu strategik yang membentuk landskap pendidikan tinggi masa hadapan, termasuk kecerdasan buatan (AI), pembelajaran sepanjang hayat, micro-credentials serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Jerman Mohamad Razdan Jamil, Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia Datin Noorazah Omar, Pengarah Urusan FIBAA Dr Nina Rotermund, Pengerusi Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Swasta Jerman Prof Dr Otmar Schneck, Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA Prof Ts Dr M.Iqbal Saripan.

Mohammad Shatar berkata perubahan landskap pendidikan tinggi global menuntut IPT agar tidak lagi bergerak secara berasingan, sebaliknya memperkukuh kolaborasi dengan universiti dalam dan luar negara bagi memastikan sistem pendidikan tinggi kekal relevan serta memenuhi keperluan semasa.

Beliau berkata kepakaran Jerman dalam bidang TVET perlu dimanfaatkan oleh IPT Malaysia bagi memperkukuh pembangunan bakat dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Jerman mempunyai kelebihan dan reputasi dalam bidang TVET, justeru kita mahu universiti di Malaysia mengambil kesempatan daripada kemajuan itu melalui kerjasama yang dapat memberi nilai tambah kepada pembangunan graduan dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka.

“Kerjasama berkenaan juga berpotensi menyumbang kepada usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi global, selaras dengan aspirasi negara untuk memperluas pengantarabangsaan pendidikan tinggi seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,” katanya.

Selain membuka lebih banyak peluang mobiliti akademik, Mohammad Shatar berkata sidang kemuncak itu dijangka membantu meningkatkan aliran kemasukan pelajar Jerman ke Malaysia dan pelajar Malaysia ke Jerman melalui jaringan kerjasama antara universiti.

Sidang kemuncak itu menghimpunkan wakil dari 17 negara, sekali gus menjadi platform mempromosikan keupayaan serta peluang pendidikan tinggi Malaysia kepada komuniti pendidikan tinggi antarabangsa.