Perlis Boleh Dipacu Jadi Makmal Terbaik Uji Dasar Kelestarian – Raja Muda

KANGAR, 7 Julai — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan Perlis boleh dipacu menjadi “makmal” terbaik untuk menguji dasar kelestarian ke arah sebuah “Negeri Pintar Hijau” atau Green Smart State.

Baginda bertitah negeri itu dengan saiznya yang tidak berapa besar sewajarnya menjadi sebagai antara sebuah negeri terawal di Malaysia menggunakan 100 peratus tenaga boleh baharu iaitu solar dan biojisim serta mengaplikasikan sistem pengurusan sisa pintar.

“Status sifar karbon jika berjaya dilaksanakan sepertimana yang dirancang akan membuktikan bahawa Perlis juga tidak ketinggalan berwawasan global dalam isu perubahan iklim,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini.

Menurut kenyataan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian sempena sesi menghadap delegasi Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diketuai Yang Dipertuanya Affendi Rajini Kanth ke atas baginda di Galeri Diraja Arau di Arau semalam.

Kenyataan itu turut memaklumkan Affendi menyembah maklum bahawa MPK terus memperkukuh komitmen dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan menerusi penyediaan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) yang menjadi dokumen strategik bagi memacu pembangunan rendah karbon, meningkatkan daya tahan bandar serta memperkasakan usaha mitigasi perubahan iklim di Perlis.

Pelan berkenaan disediakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Ekonomi, Majlis Perniagaan Bersama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT JBC), ICLEI – Local Governments for Sustainability serta Bank Pembangunan Asia (ADB). 

Menurut Affendi, dokumen berkenaan telah diluluskan di peringkat MPK pada 10 Feb lepas dan bakal menjadi panduan utama dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan bandar hijau di Perlis.

Affendi memaklumkan bagi merealisasikan hasrat itu, lima projek keutamaan dikenal pasti sebagai pemangkin kepada pelaksanaan GCAP, yang kesemua inisiatif itu dirangka bagi mempercepat transformasi Perlis ke arah sebuah negeri lebih hijau, rendah karbon, berdaya tahan serta mampan.

“GCAP bertujuan mewujudkan sebuah bandar yang lebih hijau, berdaya tahan, rendah karbon dan mampan melalui pendekatan pembangunan yang mengimbangi aspek ekonomi, sosial serta alam sekitar. Pelan itu juga selaras dengan aspirasi negara dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, Affendi menjelaskan antara projek dicadangkan ialah pemasangan sistem fotovoltaik solar (PV) di bangunan kerajaan, awam dan persendirian; penyediaan Pelan Mobiliti Rendah Karbon (LCTP); pembangunan Zon Mikro-Mobiliti dan Pengangkutan Tidak Bermotor (NMT) serta pembangunan kemudahan Material Recovery Facility (MRF) berkapasiti 80 tan sehari (TPD) bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal dan meningkatkan kadar kitar semula.

“Turut dicadangkan ialah penyediaan Pelan Pengurusan Bencana Negeri Perlis serta pemerkasaan Perlis Integrated Command Centre (PICC) bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pelaksanaan sistem Penuaian Air Hujan (RWH) secara menyeluruh di seluruh negeri itu turut menjadi antara inisiatif utama bagi memperkukuh pengurusan sumber air secara mampan dan menjamin kelestarian alam sekitar untuk jangka panjang.

Menurut kenyataan itu, GCAP dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi Perlis ke arah sebuah negeri lebih mampan, berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan mesra alam, di samping mewujudkan persekitaran lebih bersih, sihat serta berkualiti demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian generasi akan datang.