Poster Dakwaan Caj Perkhidmatan QR Mulai 1 Nov Palsu – MOF

PUTRAJAYA, 18 Okt — Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menafikan dakwaan caj perkhidmatan kod respons pantas (QR) yang kononnya bermula 1 Nov ini seperti yang tular menerusi satu poster.

Menerusi hantaran di Facebook, MOF memaklumkan poster yang tular itu adalah palsu.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai atau menyebarkan poster yang mendakwa QR memulakan caj perkhidmatan pada 1 Nov 2026 kerana maklumat tersebut adalah palsu.

“MOF ingin menegaskan bahawa tiada pengumuman rasmi mengenai perkhidmatan caj bagi QR seperti yang didakwa dalam poster berkenaan,” menurut MOF.

Sehubungan dengan itu, kementerian itu menasihati orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat yang sahih melalui saluran rasmi MOF sebelum berkongsi bagi mengelakkan penyebaran berita palsu yang boleh mengelirukan masyarakat.

Terdahulu, poster berkenaan tular melalui platform Facebook dan Threads, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi serta komen dalam kalangan pengguna media sosial.