BATU PAHAT, 4 Julai — Penduduk Yong Peng menaruh harapan tinggi agar Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi yang lebih rancak, sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan muda kembali menetap dan membina masa depan di pekan berkenaan.
Rata-rata penduduk berharap limpahan pembangunan pesat di negeri ini turut dirasai di kawasan itu menerusi pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, sekali gus mengurangkan penghijrahan belia ke bandar besar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura.
Anak jati Yong Peng, Chew Bing Jun, 23, berkata pembukaan lebih banyak kilang serta kemasukan pelaburan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda, sekali gus memberi mereka alasan kukuh untuk terus membina masa depan di pekan itu.
“Ramai anak muda di sini memilih bekerja di Singapura atau Kuala Lumpur kerana peluang pekerjaan di Yong Peng masih terhad. Jika lebih banyak kilang dibuka di sini, saya yakin keadaan akan menjadi lebih baik,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Selain peluang pekerjaan, Chew turut berharap liputan dan capaian internet di beberapa kawasan, terutama di taman perumahan baharu dapat dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang kini banyak bergantung kepada teknologi digital.
Bagi Zubaidah Razak, 43, kepulangannya ke kampung halaman selepas hampir dua dekad bekerja di Kuala Lumpur membuka ruang untuknya melihat sendiri potensi dan cabaran di pekan yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Johor Bahru itu.
Beliau berkata walaupun selesa dengan suasana pekan yang aman, capaian internet yang tidak stabil menjadi cabaran utama, khususnya buatnya yang kini bekerja sebagai pencipta kandungan dan menjalankan pemasaran gabungan secara dalam talian.
“Saya baru berpindah balik ke Yong Peng selepas 20 tahun bekerja di Kuala Lumpur. Saya buat kerja seperti pemasaran digital dan pencipta kandungan, jadi internet yang stabil sangat penting,” katanya.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata kemudahan teknologi dan komunikasi perlu diberi perhatian memandangkan trend bekerja dari rumah, pembelajaran dalam talian serta perniagaan digital semakin berkembang pesat.
Zubaidah turut berharap kemudahan moden lain seperti pusat percetakan dan perkhidmatan sokongan perniagaan diperbanyakkan bagi memudahkan urusan penduduk tanpa perlu ke bandar lain.
“Saya memang gembira tinggal di Yong Peng. Persekitarannya baik dan tidak sesak seperti di Kuala Lumpur. Cuma dari segi teknologi dan rangkaian internet, masih banyak ruang untuk penambahbaikan,” katanya.
Beliau percaya peningkatan kemudahan digital bukan sahaja dapat membantu penduduk sedia ada, malah mampu menarik lebih ramai golongan muda dan profesional untuk kembali menetap serta bekerja di Yong Peng.
Bagi penduduk, pembangunan di Yong Peng tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek fizikal seperti jalan raya, sebaliknya perlu merangkumi ekosistem yang mampu menawarkan kehidupan moden dan selesa kepada semua lapisan masyarakat.
Menjelang PRN Johor, harapan mereka cukup sederhana iaitu melihat Yong Peng terus membangun seiring kemajuan negeri, sekali gus mengembalikan denyut kehidupan pekan itu melalui kepulangan generasi muda.
Pada PRN kali ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang Ling Tian Soon daripada Barisan Nasional (BN) dan calon Pakatan Harapan (PH) Yong Hui Yi.
PRN Johor menyaksikan 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.

















Tinggalkan Balasan