UPSI Bantu Keperluan Pengajian Lovely Sabana

IPOH, 17 Ogos — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil tindakan proaktif berhubung isu keperluan bantuan untuk melanjutkan pelajaran membabitkan bakal pelajarnya, Lovely Sabana Augustine. 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti memandang serius perkara itu dan menjalankan semakan serta telah mendapatkan maklumat secara langsung daripada bakal pelajar berkenaan bagi mengenal pasti bentuk bantuan diperlukan.

“UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bakal pelajar dan pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Dalam kes Lovely, semakan mendapati beliau sememangnya bakal pelajar UPSI dan pihak universiti telah mengambil langkah awal bagi memastikan keperluan beliau untuk memulakan pengajian diberikan perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil semakan mendapati Lovely Sabana berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan perkara itu turut diambil kira dalam pemantauan kebajikan bakal pelajar berkenaan.

Norkhalid berkata Lovely Sabana merupakan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian di UPSI pada 15 Ogos lepas dan dijadualkan mendaftar pada 12 Sept ini.

Beliau berkata ketika ini Lovely Sabana memaklumkan sudah membuat persediaan untuk mendaftar serta mempunyai RM1,500 bagi pembayaran yuran berkaitan pendaftaran dan pengajian, selain keperluan utama yang dikenal pasti adalah komputer riba untuk menyokong pembelajaran.

“Pihak UPSI turut dimaklumkan bahawa seorang individu telah menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan komputer riba kepada Lovely Sabana sebelum beliau mendaftar di universiti.

“Sehubungan itu, pihak universiti akan terus memantau perkembangan pelajar berkenaan bagi memastikan keperluan kebajikan dan pendidikan beliau, selain menyelaras bantuan yang bersesuaian dengan Yayasan Perkasa Siswa bagi membantu keperluan awal pendidikan tingginya,” katanya.

Norkhalid berkata Lovely Sabana turut dipertimbangkan sebagai calon bagi Program Sulong, yang merupakan antara usaha UPSI untuk memberikan sokongan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik. 

Beliau berkata Lovely Sabana tinggal bersama ibunya, Mek Kenui, di Tumpat, Kelantan yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan dan turut menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), manakala bapanya bekas tentera pula meninggal dunia pada 2017

Terdahulu, media melaporkan anak pasangan berketurunan Kadazan-Siam itu memerlukan bantuan RM2,232 bagi membolehkannya mendaftar pengajian di UPSI bulan depan, setelah kisahnya itu tular di laman sosial Facebook semalam.