YTF Ikhtiraf Enam Wanita Cemerlang Dalam Bidang Teknologi

KUALA LUMPUR, 18 Okt — Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT) mengetengahkan peranan wanita Malaysia yang semakin berkembang dalam bidang teknologi dan inovasi, sambil menyatakan bahawa sumbangan mereka penting dalam memperkukuh industri serta membentuk masa depan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT Rushdi Abdul Rahim berkata pengiktirafan lebih meluas terhadap wanita dalam sektor itu mampu menggalakkan lebih ramai wanita muda menceburi kerjaya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Penerima anugerah tahun ini menyerlahkan bakat luar biasa wanita di Malaysia dalam bidang teknologi.  Kami berharap pengiktirafan ini menjadi pemangkin inspirasi kepada generasi muda wanita untuk terus meneroka bidang sains, teknologi, dan inovasi, selain meningkatkan pengiktirafan serta sokongan terhadap wanita dalam industri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Rushdi berkata demikian bersempena dengan Anugerah Wanita dalam Teknologi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) 2026 yang dianjurkan dengan kerjasama MIGHT.

Anugerah itu mengiktiraf wanita Malaysia atas sumbangan luar biasa mereka dalam bidang teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepimpinan.

Raja Puan Muda Perlis yang juga Pengerusi YTF, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkata yayasan itu sentiasa komited dalam membuka ruang dan mengangkat martabat wanita Malaysia yang berani memecah tradisi dalam bidang berimpak tinggi.

Baginda bertitah kejayaan penerima ini adalah bukti jelas bahawa kepakaran wanita tempatan bukan sahaja setanding pada peringkat global, malah menjadi tunjang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan digital dan teknologi negara.

Dilancarkan pada Ogos, anugerah itu diterajui Tan Sri Datuk Seri Profesor Dr Ng Yen Yen, dan menerima lebih 60 pencalonan bagi kategori Senior serta Junior daripada golongan akademik, industri, kerajaan serta sektor lain.

Enam wanita menerima pengiktirafan pada Majlis Penganugerahan dan Santapan Malam YTF yang diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-80  Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Majlis itu diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Tuanku Tengku Fauziah.

Untuk kategori Wanita dalam Teknologi (Senior), Datuk Dr Aini Ideris dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama dan menerima RM30,000.

Profesor Dr Suraya Abdul Rashid menerima Anugerah Khas-Bintang Harapan beserta wang tunai RM10,000, manakala Dr Haniza Yon menerima Anugerah Khas-Industry Changemaker yang turut membawa pulang RM10,000.

Bagi kategori Wanita dalam Teknologi (Junior), Profesor Madya Dr Serene Lock Sow Mun dinobatkan sebagai pemenang hadiah utama dan menerima wang tunai berjumlah RM15,000.

Dr Marlinda Ab Rahman pula membawa pulang Anugerah Bintang Harapan berserta wang tunai RM5,000, manakala Profesor Madya Dr Afzan Ahmad Zaini menerima Anugerah Pengubah Industri dan wang tunai RM5,000.