KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Naib Presiden PAS Senator Idris Ahmad merupakan muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai Kabinet di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri ketika mengumumkan barisan kabinetnya hari ini berkata Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen Tambun dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan manakala Idris yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Selain itu, anak bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman, Yamani Hafez Musa yang juga Ahli Parlimen Sipitang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II.

Kabinet kali ini juga menyaksikan tiga bekas menteri pada era Barisan Nasional (BN) kembali membarisi kabinet iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Datuk Seri Mahadzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Perdana menteri hari ini mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ yang merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here