KUALA LUMPUR, 31 Okt — Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengumumkan perkhidmatan tren khas Keluarga Malaysia ke Pantai Timur, serta lapan perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 18 Nov hingga 20 Nov.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 716 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan tren khas dan 2,520 tiket bagi perkhidmatan tren ETS, manakala penjualan tiket akan dibuka mulai hari esok pada 2 petang.

Menurut kenyataan KTMB itu, inisiatif tersebut bagi memberi kemudahan kepada mereka yang akan pulang ke negeri masing-masing, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15.

“Tren khas akan berlepas pada 3.40 petang (18 Nov) dari Stesen KL Sentral dan dijangka tiba pada 7.40 pagi (19 Nov) di Stesen Tumpat manakala tren dari Stesen Tumpat akan berlepas pada 5.10 petang (20 Nov) dan tiba pada 11.26 pagi (21 Nov),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, perkhidmatan tren ETS tambahan melibatkan laluan Stesen KL Sentral ke Stesen Padang Besar dan sebaliknya serta Stesen Butterworth ke Stesen KL Sentral, turut disediakan bagi tarikh yang sama.

Tiket boleh didapati melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB. Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB 03-22671200 atau melayari saluran media baharu rasmi KTMB serta laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my untuk maklumat lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here