JAKARTA, 7 Sept – China mencadangkan Rundingan Peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 dipercepatkan dan berusaha untuk memuktamadkan rundingan pada 2024.

Cadangan itu antara yang terkandung dalam senarai 39 inisiatif untuk Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-26 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18.

Menurut senarai itu, China akan menggalakkan kerjasama yang saling menguntungkan antara Inisiatif Jalur dan Laluan dan Jalan dan Pandangan ASEAN mengenai Indo-Pasifik (ASEAN Outlook on the Indo-Pacific).

China menggalakkan negara anggota ASEAN supaya memanfaatkan Dana Kerjasama ASEAN-China dengan baik dan bekerjasama untuk melaksanakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau yang berkualiti tinggi.

Di samping itu China bersedia untuk memimpin dalam menandatangani Protokol Perjanjian mengenai Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara bagi menyokong usaha negara ASEAN membina dan mengekalkan zon bebas senjata nuklear di Asia Tenggara.

China juga komited untuk bekerjasama dengan ASEAN bagi pelaksanaan penuh dan berkesan Deklarasi Tatalaku di Laut China Selatan (DOC) dan untuk kemajuan dalam perundingan Tatalaku di Laut China Selatan (COC).

China juga berusaha untuk mengukuhkan kerjasama praktikal dalam sains dan teknologi marin, kerjasama alam sekitar, keselamatan pelayaran, mencari dan menyelamat, memancing serta memerangi jenayah transnasional dan sebagainya. 

Negara itu juga akan membuat sumbangan tambahan kepada Tabung Kerjasama ASEAN-China pada 2024.

Senarai itu juga menyatakan bahawa China menyokong aktiviti pembangunan kapasiti dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN dan akan melancarkan Inisiatif ASEAN-China mengenai Bandar Persahabatan Berdaya Tahan Iklim dan projek pembangunan komuniti rendah karbon untuk meningkatkan kesedaran tentang perubahan iklim dalam kalangan masyarakat.

Sidang Kemuncak China-ASEAN ke-26 dan Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-26 berlangsung pada Rabu di Jakarta, manakala Sidang Kemuncak Asia Timur ke-18 dijadualkan bermula pada Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here