MELAKA, 22 Ogos – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) merancang untuk memperkenalkan pembayaran bil cukai taksiran secara digital bermula tahun depan bagi menggantikan kaedah fizikal yang digunakan sejak sekian lama.

Justeru, Yang Dipertua MPHTJ Datin Sapiah Haron berkata pemilik premis yang tinggal di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut boleh menggunakan aplikasi MPHTJpay untuk membayar cukai taksiran masing-masing bermula tahun depan.

“Sekarang ini cukai taksiran masih dihantar secara fizikal menggunakan perkhidmatan pos dan pemilik premis akan buat bayaran di kaunter bagi mendapatkan resit bayaran.

“Bermula tahun depan, kita akan hantar emel atau menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan kepada pemilik premis mengenai cukai taksiran mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi beberapa sesi libat urus yang diadakan bersama masyarakat sebelum ini, majoriti pemilik premis bersetuju dengan kaedah tersebut kerana ia memudahkan urusan pembayaran tanpa perlu ke kaunter bayaran.

“Bagi warga emas pula, kita akan bantu jika mereka mengalami kesukaran untuk membuat bayaran dengan hadir ke pejabat MPHTJ untuk urusan berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, Sapiah berkata kira-kira 70 peratus daripada RM60 juta cukai taksiran berjaya dikutip hingga Julai tahun ini dan menyeru agar mana-mana pemilik premis yang belum membuat bayaran untuk segera berbuat demikian.

Beliau berkata ia penting bagi memastikan perkhidmatan perbandaran dapat disediakan sebaik mungkin kepada mereka bagi menjamin keselesaan hidup penduduk di bawah PBT tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here