KUALA LUMPUR, 2 Okt – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pengeluaran duit syiling peringatan bersempena dengan pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 20 Julai, 2024.

Menurut bank pusat, duit syiling peringatan itu dikeluarkan dalam tiga denominasi iaitu duit syiling peringatan emas (pruf), duit syiling peringatan perak sterling (pruf) dan duit syiling peringatan emas Nordic brilliant uncirculated (B.U.).

Duit syiling peringatan emas (pruf) diperbuat daripada emas dengan ketulenan 999.9 dan berat setiap keping ialah 8 gram, manakala nilai muka ialah RM100 dan akan dijual pada harga RM3,250 sekeping, sejumlah 300 keping telah ditempa, menurut BNM dalam kenyataan pada Rabu.

Duit syiling peringatan perak sterling (pruf) pula diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 dan berat setiap keping ialah 31 gram manakala nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijual pada harga RM275 sekeping dengan sejumlah 1,300 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan emas Nordic B.U. diperbuat daripada tembaga serta beberapa logam lain dan berat setiap keping ialah 8.5 gram, nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping dengan sejumlah 5,000 keping telah ditempa, tambah BNM.

“Duit syiling peringatan ini juga dijual sebagai Set 2 dalam 1 yang mengandungi sekeping duit syiling perak sterling (pruf) dan sekeping duit syiling emas Nordic (pruf). Harga jualan setiap set ialah RM330. Sejumlah 1,300 set tersedia untuk pembelian,” menurut bank pusat.

BNM menjelaskan bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling emas (pruf), satu keping duit syiling perak sterling (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai pukul 11 pagi pada 2 Okt, 2024 hingga pukul 11 malam pada 13 Okt, 2024.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian BNM sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak lain.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan. Sekiranya jumlah tempahan yang diterima melebihi jumlah yang ditawarkan, cabutan akan dibuat untuk menentukan tempahan yang berjaya,” menurut BNM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here