BN Kekalkan Formula Agihan Kerusi Untuk Hadapi PRN, PRU – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 18 April — Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan formula pembahagian kerusi sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan ditugaskan untuk meneliti keperluan bagi membuat pelarasan atau penambahan jumlah kerusi untuk rakan gabungan, termasuk “Friends of BN”.

“Kita mahu membuktikan bahawa kebersamaan kita selama ini dapat diterjemahkan dalam bentuk pembahagian kerusi yang bersesuaian buat mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) ke-46 tahun 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir Zambry, Presiden KIMMA Datuk Seri Syed Ibrahim Kader, pemimpin-pemimpin kanan parti komponen, Friends of BN serta 938 perwakilan membabitkan 95 bahagian dari seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata jentera BN perlu mula bergerak aktif menarik sokongan pengundi luar memandangkan sokongan daripada ahli parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan calon.

“Kita sedar bahawa sokongan daripada ahli parti komponen sahaja tidak mencukupi untuk memenangi pilihan raya. Oleh itu, jentera perlu mula menarik sokongan daripada pengundi yang bukan terdiri daripada ahli mana-mana parti komponen,” katanya.

Menyentuh mengenai kedudukan MIC dalam gabungan itu, beliau menegaskan parti berkenaan kekal sebagai parti teras BN dan tidak pernah menyatakan hasrat untuk keluar secara rasmi.

“Walaupun terdapat surat yang dikaitkan dengan Perikatan Nasional, namun MIC menafikan mereka pernah memohon untuk menyertai gabungan berkenaan,” katanya.

Mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Dr Ahmad Maslan agar PRN Johor dan Melaka ditangguhkan sehingga ekonomi stabil serta ketidaktentuan harga minyak berakhir, Ahmad Zahid menegaskan perkara itu hanyalah pandangan peribadi.

“Itu adalah pandangan peribadi beliau dan bukannya pendirian rasmi UMNO mahupun BN,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata tempoh pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka hanya akan berakhir pada 30 Nov 2026 seterusnya memberi laluan kepada PRN.