Wang Yi Bertemu Menteri Luar Mongolia, Bincang Peningkatan Kerjasama Dua Hala

Menteri Luar China, Wang Yi bertemu rakan sejawatnya dari Mongolia, Batmunkh Battsetseg di Ulaanbaatar pada Sabtu.

Dalam pertemuan itu Wang Yi menegaskan bahawa dasar diplomatik China kekal konsisten dan mampan.

Ujarnya China bersedia menjadi rakan yang boleh dipercayai bagi Mongolia dan komited menyediakan bantuan berterusan kepada pembangunan ekonomi di negara itu. 

Beliau menekankan bahawa China bersedia bersama-sama pihak Mongolia untuk memperkasakan pembinaan bermutu tinggi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperluas kerjasama ekonomi dan perdagangan, menggalakkan peningkatan kerjasama dalam pelbagai bidang demi membuahkan lebih banyak hasil. 

Sementara itu Batmunkh Battsetseg menyatakan, Mongolia dengan teguh mengamalkan prinsip satu China, menyokong China memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah, serta tidak menyokong “kemerdekaan Taiwan”.  

Selain itu, katanya Mongolia juga ingin memperkukuh penyelarasan strategi pembangunan dengan China, memperluas skop pelaburan dan perdagangan, meningkatkan kesalinghubungan, serta meluaskan kerjasama dalam sektor perlombongan, tadbir urus ekologi dan lain-lain.