Penang Future Foundation Salur Biasiswa RM47.7 Juta Kepada 863 Pelajar Sejak 2015

GEORGE TOWN, 19 Jun — Inisiatif biasiswa bakat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Penang Future Foundation (PFF) telah menyalurkan 863 biasiswa bernilai RM47.7 juta kepada pelajar Malaysia yang cemerlang dan layak sejak ditubuhkan pada 2015.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata yayasan itu, yang kini memasuki tahun ke-11 penubuhannya, memainkan peranan penting memupuk dan mengekalkan bakat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri serta memenuhi peningkatan permintaan terhadap golongan profesional mahir dalam pelbagai industri. 

Pembiayaan yayasan itu menerusi sumbangan sektor awam dan swasta.

Chow memaklumkan pada tahun lepas, sebanyak 58 pelajar daripada pelbagai latar belakang menerima biasiswa PFF dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Perakaunan serta Kewangan.

“Bagi menerajui pertumbuhan negeri untuk 50 tahun akan datang dan kekal sebagai lokasi tumpuan pelaburan, usaha menarik serta mengekalkan bakat menjadi lebih kritikal dalam memastikan aliran bakat yang berterusan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, Chow berkata PFF mengalu-alukan pemohon dari seluruh Malaysia untuk memohon  PFF Penang Scholar atau PFF Mutiara Scholar

PFF Penang Scholar dikhususkan untuk mereka yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.67 dan ke atas manakala PNGK antara 3.00 hingga 3.66 bagi PFF Mutiara Scholar,” katanya.

Permohonan dibuka dari 15 Julai hingga 5 Ogos dan mereka yang berminat digalakkan sentiasa peka dengan pengumuman berkala melalui laman sesawang PFF www.penangfuturefoundation.my.