SHAH ALAM, 24 Jun — Isu peribadi dipercayai antara motif awal kejadian seorang wanita warga asing ditemukan maut dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya dekat sini semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata berdasarkan siasatan awal, selain isu hati dan perasaan, masalah perbelanjaan harian turut dipercayai menjadi motif kejadian itu.
“Suspek dan mangsa yang juga penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang sama dipercayai saling mengenali dan menjalinkan hubungan. Mereka dipercayai tinggal serumah. Itulah motif setakat ini, namun pihak polis masih menjalankan siasatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.
Shazeli berkata pihaknya percaya tidak ada suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu, selain seorang lelaki warga asing berumur 20-an yang ditahan di lokasi kejadian semalam.
“Namun, kami tidak menutup ruang-ruang (kemungkinan lain) sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.
Shazeli berkata polis juga membuat beberapa rampasan, termasuk senjata dipercayai digunakan dalam insiden itu dan bedah siasatan akan dilaksanakan hari ini.
Selain itu, beliau berkata keterangan jiran-jiran berdekatan telah diambil berhubung insiden itu.
Semalam, seorang wanita warga asing berusia 20-an ditemukan maut dengan beberapa kesan kecederaan pada tubuhnya di sebuah kondominium di Bandar Sunway.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 11.03 pagi dan tangkapan telah dilakukan terhadap seorang lelaki warga asing berumur 20-an di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan lain, Shazeli memaklumkan siasatan terhadap seorang penghantar barang berhubung kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih masih belum selesai sepenuhnya.
Beliau berkata pihak Timbalan Pendakwa Raya telah memberikan beberapa arahan dan nasihat agar kertas siasatan kes berkenaan dapat dilengkapkan.
Media sebelum ini melaporkan seorang penghantar barang yang ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih yang tular di media sosial dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

















Tinggalkan Balasan