KUCHING, 24 Jun — Kementerian Kewangan (MOF) mengambil pendekatan terbuka dalam menerima sebarang cadangan bagi memastikan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) berjalan dengan baik.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sebarang keputusan berkaitan program itu, termasuk isu penambahan kuota perlu dibuat berdasarkan data penggunaan sebenar.
“Semasa kami mula pelaksanaan subsidi RON95 dahulu pun ada yang kata kuota tidak cukup tetapi kini selepas beberapa bulan pelaksanaannya, kami boleh lihat data dari Januari hingga Mei tahun ini, hanya 0.76 peratus yang menggunakan lebih 200 liter.
“Jadi, menurut saya kami perlu biar sistem itu berjalan terlebih dahulu dan lihat sama ada berkesan atau tidak. Jika ada jurang dalam sistem, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menelitinya semula (keputusan),” katanya pada sidang media selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Amir Hamzah berkata pengalaman pelaksanaan subsidi bersasar sebelum ini termasuk bagi sektor e-panggilan menunjukkan kerajaan sentiasa bersedia membuat pelarasan berdasarkan data penggunaan sebenar.
“Apabila kami mula pelaksanaan subsidi bersasar untuk e-panggilan, kami menerima maklum balas bahawa kuota diberikan tidak mencukupi. Oleh itu, kami lihat penggunaan direkodkan syarikat e-panggilan. Jika seseorang itu benar-benar mempunyai penggunaan tinggi, maka kuotanya akan dinaikkan.
“Sebab itu sekarang untuk pemandu e-panggilan terdapat dua tahap kuota, iaitu 600 liter dan 800 liter, pelarasan dibuat berdasarkan data,” katanya.
















Tinggalkan Balasan