Kes Rasuah Projek Solar: Rayuan Rosmah Ditangguh Ke 1 Sept

PUTRAJAYA, 1 Julai — Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes rasuah melibatkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di Sarawak, yang dijadualkan didengar hari ini di Mahkamah Rayuan, ditangguhkan ke 1 Sept.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan 16 hari pada September untuk mendengar rayuan berkenaan.

Terdahulu, panel itu membenarkan pelupusan permohonan peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh untuk menangguhkan prosiding hari ini, sementara menunggu permohonan semakan yang difailkan Rosmah pada 29 Julai berhubung permintaan supaya hakim menarik diri daripada mendengar kes solar berkenaan.

Menyifatkan kes itu sebagai kes lama yang bermula sejak 2022, Hakim Datuk Azhahari yang bersidang bersama Datuk Dr Choo Kah Sing dan K. Muniandy berkata mahkamah tidak akan berkompromi dengan tarikh pendengaran baharu yang telah ditetapkan itu.

“Kami tidak akan berkompromi dengan tarikh-tarikh ini. Pendengaran telah ditetapkan pada 1 hingga 4 Sept, 8 hingga 11 Sept serta 21 hingga 30 Sept 2026. Rayuan mesti bermula pada 1 Sept dan kami tidak akan membenarkan sebarang penangguhan sepanjang tempoh pendengaran yang telah dijadualkan,” katanya.

“Dengan mengambil kira peguam bersama Datuk Akberdin Abdul Kader, kini sedang berdepan saat-saat sukar dalam kehidupannya, kami membenarkan permohonan penangguhan ini,” katanya.

Mahkamah turut memaklumkan bahawa Presiden Mahkamah Rayuan menerusi surat bertarikh 10 Okt 2024, telah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pendengaran rayuan utama.

“Kami berpendapat bahawa surat itu perlu ditafsirkan sebagai turut membenarkan rayuan utama ditangguhkan, sehingga pemohon menggunakan sepenuhnya semua saluran undang-undang yang tersedia, termasuk permohonan semakan, sementara menunggu pendengaran dan pelupusan permohonan semakan tersebut,” katanya.

Terdahulu, Jagjit memohon penangguhan atas alasan pihak pembelaan telah memfailkan permohonan semakan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan, yang menolak rayuan Rosmah untuk membatalkan pelantikan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan), yang mengendalikan perbicaraan serta mensabitkan beliau dalam kes rasuah projek hibrid solar itu.

Beliau berkata pada 9 Okt 2024, pihak pembelaan telah mengemukakan surat kepada Presiden Mahkamah Rayuan, bagi memohon supaya pendengaran rayuan kes rasuah itu ditangguhkan sehingga rayuan berkaitan permohonan agar hakim berkenaan menarik diri, diputuskan sepenuhnya.

“Pada 10 Okt 2024, Presiden Mahkamah Rayuan membalas surat kami dan membenarkan rayuan kes rasuah itu ditangguhkan, sehingga rayuan berkaitan permohonan penarikan diri hakim selesai diputuskan sepenuhnya. Ketika ini, permohonan semakan berhubung penarikan diri hakim itu dijadualkan didengar pada 29 Julai,” katanya.

Peguam itu turut memaklumkan kepada panel bahawa anak lelaki Akberdin iaitu Adli Hakim, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya kira-kira dua bulan lepas.

“Akberdin seperti adik saya sendiri. Beliau masih bersedih dan berkabung atas kehilangan anaknya. Beliaulah yang menyediakan semua dokumen bagi rayuan ini, namun tidak dapat hadir kerana tragedi itu. Saya memerlukan beliau (Akberdin). Kami berharap pihak pendakwaan dapat memahami keadaan ini,” katanya sambil menahan sebak.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai berkata pihak pendakwaan telah diarahkan untuk membantah permohonan penangguhan itu, dengan alasan rayuan berkenaan telah tertangguh di Mahkamah Rayuan sejak 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata pihak pendakwaan menyerahkan kepada budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan peribadi Akberdin.

Pada 1 Sept 2022, Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah, selepas mendapati beliau bersalah atas pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion itu.

Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah, isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta, serta berdepan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu memperoleh projek hibrid solar berkenaan.