LRA Chicha 2 Beroperasi September, Manfaatkan Lebih 13,000 Pengguna

KOTA BHARU, 12 Julai — Lebih 13,000 pengguna bakal menikmati manfaat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Chicha 2 di Pasir Hor dekat sini, yang dijadualkan beroperasi mulai September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata projek bernilai RM54.98 juta yang mula dibina pada 2024 itu, kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 97 peratus.

Beliau berkata LRA Chicha 2 berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH) itu akan membekalkan air terawat kepada pengguna di Pasir Hor, Telipot, Kota Seribong, Mulong dan Tunjong.

“Loji seluas 1.84 hektar ini menggunakan sumber air bawah tanah yang diperoleh melalui proses penggalian sedalam 100 meter serta kaedah pengudaraan, yang dijangka menghasilkan air terawat berkualiti tinggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pembinaan projek berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata apabila siap kelak, kemudahan itu dijangka membolehkan kira-kira 10,000 akaun pengguna lama di kawasan terbabit diaktifkan semula untuk menikmati bekalan air daripada loji berkenaan.

Izani berkata kaedah rawatan air secara pengudaraan yang digunakan di LRA Chicha 2 merupakan yang pertama dilaksanakan di Kelantan dan berpotensi diperluas ke loji-loji lain pada masa hadapan.

Sementara itu, beliau berkata masalah bekalan air di Kelantan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama serta pembinaan loji rawatan air baharu.

Katanya, usaha itu akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan kapasiti bekalan air terawat mencukupi di samping mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 40 peratus berbanding kadar semasa melebihi 50 peratus.

Beliau berkata kehilangan air terawat ketika ini berpunca daripada paip usang dan bocor, paip pecah di bawah tanah serta kerosakan meter air.

“Kita harap dalam tempoh itu rakyat dapat bersabar dan memberi masa kepada kami untuk menyelesaikan isu ini secara berperingkat,” katanya.