QINGDAO, 20 Julai — Jumlah dagangan antara China dengan ASEAN mencecah RMB4.34 trilion (RM2.61 trilion) pada separuh pertama 2026, meningkat 18.2 peratus tahun ke tahun, menurut statistik terkini Jabatan Am Kastam China.
Pelabuhan Qingdao di pesisir timur China menjadi antara cerminan prestasi memberangsangkan dalam perdagangan dua hala itu.
Barangan dari kawasan pedalaman China boleh dihantar terus ke Pelabuhan Qingdao melalui rangkaian kereta api sebelum dieksport ke luar negara.
Pada masa sama, produk dari Asia Tenggara termasuk durian dan hasil akuatik dibawa masuk ke pasaran China menerusi pengangkutan laut.
Gabungan pengangkutan rel dan laut bukan sahaja memudahkan perdagangan antara China dengan ASEAN, malah menawarkan pilihan logistik yang lebih cekap pada kos lebih rendah.
Kelancaran rangkaian pengangkutan itu turut disokong pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang memperkukuh kerjasama antara China dengan Asia Tenggara dalam rantaian industri serta mendorong pertambahan laluan perkapalan antara kedua-dua pihak.
Pada separuh pertama tahun ini, Pelabuhan Qingdao membuka lima laluan terus baharu ke ASEAN.
Jumlah keseluruhan laluan dari pelabuhan itu ke ASEAN kini melebihi 50, meliputi kebanyakan pelabuhan utama di Vietnam, Thailand, Indonesia dan Malaysia dengan kekerapan perkhidmatan yang tinggi.
Menurut statistik terkini, jumlah perdagangan antara Pelabuhan Qingdao dengan ASEAN mencecah RMB255.63 bilion (RM154.29 bilion) pada separuh pertama 2026, meningkat 11.8 peratus tahun ke tahun.
Import produk pertanian dan sumber asli dari ASEAN turut meningkat secara stabil, sekali gus memudahkan pengguna di China mendapatkan produk berkualiti dari Asia Tenggara pada harga lebih berpatutan.













Tinggalkan Balasan