Tentera Israel Lancar Serangan, Pencerobohan Darat, Bakar Rumah Di Selatan Lubnan

ISTANBUL, 11 Ogos — Tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan di selatan Lubnan pada Isnin dengan melancarkan bedilan artileri, melakukan pencerobohan darat serta membakar beberapa rumah, dalam pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita rasmi Lubnan.

Agensi Berita Nasional (NNA) melaporkan tentera Israel melepaskan tembakan mesingan ke arah Wadi al-Salouqi di wilayah Nabatieh dan membedil bandar Mansouri di selatan Lubnan pada waktu malam.

Dua letupan turut kedengaran di kawasan Mansouri, menurut agensi itu.

Di Nabatieh, tentera Israel mencetuskan satu letupan besar di Kfar Tebnit, manakala kawasan pinggir Nabatieh al-Fawqa dibedil artileri secara berkala dari kedudukan tentera Israel, lapor NNA.

Rejim Zionis turut membakar beberapa rumah di Khiam ketika operasi di dalam bandar itu diteruskan.

Sementara itu, tentera Israel mara ke kawasan pinggir barat Mays al-Jabal, disertai tembakan artileri yang menyasarkan sebuah rumah.

Dron turut terbang pada altitud rendah di kawasan Zahrani.

Tiada laporan mengenai kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda.

Serangan berlaku beberapa hari selepas pusingan ketujuh rundingan Lubnan-Israel berakhir di Rom pada Khamis di bawah tajaan Amerika Syarikat (AS), dengan perbincangan tertumpu kepada isu berkaitan pelaksanaan perjanjian rangka kerja yang dicapai pada 26 Jun.

Pada Jumaat, Presiden Lubnan Joseph Aoun berkata dalam mesyuarat Kabinet bahawa Lubnan mencapai “kemajuan positif” dalam rundingan di Rom berkaitan isu sempadan dan tahanan.

Perjanjian rangka kerja itu menggariskan pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari wilayah Lubnan yang diduduki, bermula di “zon perintis” di kawasan ditetapkan, sebagai pertukaran dengan penempatan tentera Lubnan dan pelucutan senjata kumpulan bersenjata, merujuk kepada Hizbullah.

Walaupun rundingan sedang berlangsung, Israel meneruskan pencerobohannya di Lubnan bermula pada 2 Mac, mengorbankan 4,335 orang dan mencederakan 12,277 yang lain serta menyebabkan lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.

Israel terus menduduki beberapa kawasan di selatan Lubnan, sebahagiannya sejak beberapa dekad lalu dan selebihnya sejak perang 2023-2024, manakala tenteranya mara lebih 10 kilometer ke dalam wilayah Lubnan sepanjang kempen ketenteraan semasa.

Israel turut menduduki wilayah Palestin dan Syria serta enggan berundur atau membenarkan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka seperti yang digariskan dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan.