ARAU, 12 Ogos — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima sembah menghadap Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi di Balai Menghadap Biru, Istana Arau di sini semalam.
Istana Arau dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi menghadap itu mencerminkan hubungan erat yang terus terjalin antara Institusi Diraja Perlis dengan Jabatan Audit Negara, dalam mendukung usaha memperkukuh tadbir urus, integriti serta akauntabiliti dalam pentadbiran awam.
“Pertemuan tersebut turut menjadi platform bagi menzahirkan komitmen bersama terhadap pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan awam yang berteraskan prinsip ketelusan, kecekapan dan pengurusan kewangan yang berhemah.
“Selain itu, pertemuan berkenaan menggambarkan iltizam berterusan semua pihak dalam memastikan amalan pengurusan kewangan dan pentadbiran yang cekap, telus serta berintegriti terus menjadi asas penting kepada kemajuan Negeri Perlis,” menurut kenyataan Istana Arau.
Istana Arau dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa pendekatan itu selaras dengan aspirasi untuk memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Menurut kenyataan itu usaha berterusan dalam memperkasakan tadbir urus yang baik, diyakini bukan sahaja mampu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan malah menjadi pemangkin kepada pembangunan Perlis yang mampan, inklusif dan berdaya saing.
“Seiring dengan itu, sinergi antara institusi diraja dan agensi-agensi kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus maju berlandaskan prinsip integriti, akauntabiliti serta kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.













Tinggalkan Balasan