Malaysia Mahu Akses Lebih Luas Produk Tempatan Melalui E-Dagang Dua Hala Dengan China

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Malaysia mencadangkan kerjasama e-dagang rentas sempadan dua hala yang lebih kukuh dengan China bagi membolehkan lebih banyak produk tempatan berkualiti tinggi menembusi pasaran China yang luas.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata walaupun pengguna Malaysia mempunyai akses kepada barangan dari China, mekanisme perdagangan dua hala yang lebih seimbang akan membolehkan perusahaan Malaysia berhubung secara langsung dengan pengguna China.

“Banyak produk Malaysia sememangnya mendapat sambutan baik di China, termasuk produk berasaskan durian, sarang burung, kopi putih, kraf tangan dan batik.

“Malaysia mahu memanfaatkan permintaan itu melalui hubungan e-dagang yang lebih kukuh,” katanya semasa berucap pada pembukaan Pameran Antarabangsa Perusahaan Kecil dan Sederhana China (CISMEF) ke-21 dan pelancaran Pavilion Malaysia di Guangzhou, China.

Sim yang kini mengetuai misi perdagangan antarabangsa ke bandar berkenaan turut mengetengahkan cadangan itu ketika mengadakan lawatan ke Alibaba Group bagi meneroka hubungan e-dagang secara langsung untuk usahawan tempatan.

Sim ketika mengulas prestasi perdagangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berkata eksport PMKS Malaysia mencecah RM214.5 bilion pada 2025, meningkat 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menyumbang hampir 15 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara.

Beliau berkata angka itu menunjukkan PMKS tempatan berupaya memenuhi piawaian global dan tumpuan utama kini adalah untuk menyediakan akses yang lebih luas kepada mereka ke pasaran antarabangsa.

Sebanyak 12 syarikat dan koperasi Malaysia daripada sektor makanan, minuman dan produk kesihatan menyertai CISMEF bagi mengetengahkan inovasi tempatan serta potensi eksport.

Sim berkata walaupun Delta Sungai Mutiara dikenali sebagai “Kilang Dunia” dan Malaysia sebagai “Persimpangan Asia”, kepelbagaian serta kreativiti Malaysia berpotensi meletakkan negara sebagai “Butik Dunia” menerusi penghasilan produk yang mempunyai keunikan dan nilai tinggi.

Beliau yakin hubungan diplomatik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China akan terus menjadi tonggak kukuh kepada kerjasama ekonomi dua hala.

Sim turut berada di Guangzhou bagi mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC SMEMM) ke-32.