Program MM2H Jana Nilai Ekonomi RM8.85 Bilion, Tarik 7,650 Permohonan Baharu

KUALA LUMPUR, 26 Sept– Program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H) menjana nilai ekonomi sebanyak RM8.85 bilion antara 1 Okt 2024 hingga 31 Ogos 2026, sekali gus memberi impak ketara terhadap pelaburan langsung asing serta pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata impak kewangan program itu didorong oleh pembelian hartanah bernilai lebih RM5 bilion, dan simpanan tetap berjumlah RM3.82 bilion.

Beliau berkata Malaysia berjaya menerima 7,650 permohonan baharu dalam tempoh sama bagi semua kategori, iaitu Platinum, Gold, Silver, dan Zon Ekonomi Khas, mencerminkan keyakinan kukuh masyarakat antarabangsa terhadap kestabilan, tadbir urus, dan prospek ekonomi jangka panjang negara.

“MM2H menunjukkan potensi besar dalam memperluas pelaburan langsung asing Malaysia. Program itu berjaya membawa masuk berbilion ringgit dalam tempoh singkat dan memberikan manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew berkata China mendahului jumlah permohonan dengan 3,847 permohonan, diikuti Taiwan (1,054), Hong Kong (324), Singapura (287) dan Amerika Syarikat (284), selain beberapa negara utama lain turut menunjukkan minat.

Bagi memperluas capaian program itu kepada pasaran sasaran utama seperti Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan negara lain, Pusat Sehenti MM2H akan menganjurkan misi jualan di luar negara.

Chiew berkata bagi mendapatkan maklum balas secara langsung beliau telah mengadakan pertemuan dengan pemain industri dan pihak berkepentingan utama MM2H, termasuk perunding, pakar hartanah, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perbankan pada Bengkel Kebangsaan MM2H ke-14 2026 anjuran Persatuan Perunding MM2H (MM2HCA), semalam.

“Setiap perkara yang dibangkitkan diambil kira dan pihaknya bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi lain untuk mencari penyelesaian praktikal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kementerian juga komited terhadap pematuhan peraturan, ketelusan dan integriti bagi mengekalkan reputasi program itu pada peringkat global.