Perdana Menteri China, Li Qiang menghadiri Mesyuarat Majlis Ketua Kerajaan (Perdana Menteri) Negara Anggota Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-25 di Dushanbe, Tajikistan pada Selasa.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tajikistan, Qohir Rasulzoda turut dihadiri pemimpin dan wakil negara-negara anggota SCO, tetamu negara tuan rumah dan pegawai organisasi antarabangsa berkaitan.
Li berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 SCO yang turut menyaksikan Sidang Kemuncak Bishkek pada September lalu mencapai beberapa hasil penting yang memacu momentum baharu kepada usaha menggalakkan keamanan dan pembangunan.
Namun begitu, beliau berkata ketidakstabilan dan ketidaktentuan dunia juga terus meningkat.
Justeru, Li berkata Presiden China, Xi Jinping telah menegaskan pada sidang kemuncak itu bahawa SCO perlu berani memikul tanggungjawab sejarah dan memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju dunia ketika umat manusia berada di persimpangan yang menentukan masa depannya.
Selain itu, Li juga berkata SCO perlu berusaha menghimpunkan lebih banyak rakan antarabangsa dan memainkan peranan lebih aktif di peringkat global dengan tumpuan diberikan kepada usaha memperkukuh titik persamaan, di samping menguruskan perbezaan secara baik.
Dalam aspek perbezaan kelebihan sumber, Li menegaskan bahawa SCO perlu memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan, menggalakkan integrasi ekonomi serantau serta membina rangkaian koridor pengangkutan antarabangsa yang stabil dan berdaya tahan.
Ini juga termasuk mengekalkan kestabilan dan kelancaran rantaian bekalan dan industri global.
Beliau turut menggesa negara anggota SCO mencari kepentingan bersama di sebalik perbezaan tuntutan serta bekerjasama demi memelihara keamanan dan kestabilan dunia.











Tinggalkan Balasan