KANGAR, 21 Okt — Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis Izizam Ibrahim hari ini mengesahkan penggantungan keahlian Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, seperti notis yang tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Notis penggantungan bertarikh 14 Okt antara lain menyatakan Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang pada 13 Okt memutuskan untuk menggantung hak keahlian Abu Bakar selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa dari tarikh surat itu dikeluarkan.
Keputusan itu dibuat berikutan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis itu yang melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Susulan penggantungan itu, Abu Bakar turut dilucutkan segala jawatan dipegang dalam parti dan tidak boleh membuat sebarang kenyataan atas nama parti hingga tamat tempoh penggantungan.
Berhubung kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar, Izizam yang juga Pengerusi Hal Ehwal Agama, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kepenggunaan Sumber Manusia dan Modal Insan negeri berkata jawatan itu sewajarnya dilepaskan secara sukarela jika seseorang ahli politik mengamalkan prinsip gentleman (lelaki budiman).
“Tetapi semua itu saya tunggu arahan (Bersatu) Pusat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Izizam yang juga ADUN Titi Tinggi berkata Abu Bakar masih boleh membuat rayuan untuk dipertimbangkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis itu.













Tinggalkan Balasan