Pengarah, Syarikat Didenda RM105,000 Jual Diesel Kepada Pihak Tiada Kebenaran

IPOH, 18 Nov — Seorang pengarah syarikat dan syarikatnya didenda keseluruhan RM105,000 oleh Mahkamah Sesyen Teluk Intan hari ini selepas mengaku bersalah menjual 10,925 liter diesel secara borong kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai kebenaran menyimpan bahan api itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam kenyataan memaklumkan Hakim Rafidah Che Aziz menjatuhkan hukuman denda RM40,000 terhadap Teng Sang Yeen, 63, manakala syarikatnya Sunmaju Sdn Bhd didenda RM65,000.

Mahkamah turut memerintahkan Teng dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Teng selaku pengarah Sunmaju Sdn Bhd telah menjual 10,925 liter diesel secara borong kepada Taimah Builders Sdn Bhd, yang bukan penjual borong atau penjual runcit yang diberi kuasa untuk memperniagakan barang kawalan berjadual itu.

Mahkamah turut memerintahkan Teng dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Teng selaku pengarah Sunmaju Sdn Bhd telah menjual 10,925 liter diesel secara borong kepada Taimah Builders Sdn Bhd yang bukan penjual borong atau penjual runcit yang diberi kuasa untuk memperniagakan barang kawalan berjadual itu.

Kesalahan tersebut dilakukan di Batu 4, Jalan Changkat Jong, di sini, kira-kira 2.44 petang pada 19 Sept lalu.

Teng dan syarikatnya didakwa melanggar Peraturan 9(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, yang menjadi kesalahan mengikut Peraturan 21(1) peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin bersama Pegawai Pendakwa Muhamad Hanif Abd Azis.

Teng telah membayar denda yang dikenakan terhadapnya.