SINGAPURA, 25 Mei — Pertumbuhan ekonomi Singapura dijangka kekal dalam julat 2.0 peratus hingga 4.0 peratus pada 2026 meskipun risiko penurunan adalah ketara susulan impak konflik Asia Barat, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
Dalam kenyataan hari ini, MTI memaklumkan Singapura mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.0 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2026 berbanding 5.7 peratus pada suku sebelumnya.
“Bagaimanapun, risiko penurunan terhadap unjuran ekonomi Singapura telah meningkat ketara dan MTI akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti serta bertindak melaraskan unjuran pertumbuhan KDNK sepanjang tahun itu jika keadaan perlu,” menurutnya.
Kementerian itu menjelaskan, risiko penurunan itu termasuk gangguan terhadap bekalan tenaga global serta input lain; peningkatan semula tindakan tarif Amerika Syarikat (AS) serta sentimen mengelak risiko yang ketara atau pengurangan mendadak perbelanjaan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI) global.
Menurut MTI, pertumbuhan KDNK Singapura dalam suku pertama telah dipacu oleh prestasi kukuh perdagangan borong, pembuatan serta sektor kewangan dan insurans.
“Ini khususnya permintaan berkaitan AI yang mantap dan menyumbang kepada pertumbuhan segmen jentera, peralatan dan bekalan dalam sektor borong serta kluster elektronik dan kejuruteraan jitu dalam sektor pembuatan,” menurutnya.
Selain itu, pertumbuhan dalam sektor kewangan dan insurans pula bersifat meluas dengan prestasi kukuh dalam segmen perbankan, pengurusan dana serta urus niaga sekuriti.
“Sebaliknya, peningkatan harga dan kekurangan minyak mentah dan derivatif daripadanya susulan konflik AS-Israel-Iran telah menyumbang kepada penguncupan segmen bahan api dan bahan kimia sektor perdagangan borong dan kluster bahan kimia sektor pembuatan,” menurutnya.
Pada masa sama, MTI turut memaklumkan bahawa prospek ekonomi telah merosot sejak Februari lepas apabila tercetusnya konflik AS-Israel-Iran itu.
Menurutnya, gangguan terhadap bekalan tenaga dan input utama lain seperti baja dan aluminium akibat sekatan di Selat Hormuz telah menyebabkan lonjakan kos tenaga global serta kos input lain.
“Ini telah meningkatkan tekanan inflasi yang dijangka menjejaskan pendapatan benar dan penggunaan selain menyebabkan keadaan kewangan global yang lebih ketat.
“Kesemua faktor ini akan memberi impak terhadap aktiviti ekonomi bagi tempoh berbaki tahun ini,” menurutnya.
Sementara itu, MIT berkata permintaan berkaitan AI kekal mantap dan sewajarnya terus menyokong pertumbuhan ekonomi serantau sepanjang tahun ini.
“Mengambil kira semua perkembangan ini, unjuran permintaan luar Singapura bagi tahun ini adalah lebih lemah berbanding penilaian pada Februari (lepas),” katanya.

















Tinggalkan Balasan