ISTANBUL, 9 Julai — Jumlah korban akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela meningkat kepada 3,811 orang, manakala 16,740 lagi cedera, lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez pada Rabu.
Dalam perkembangan rasmi yang dikongsi menerusi platform media sosial X, Rodriguez berkata 86,794 keluarga telah menerima bantuan susulan bencana itu.
Beliau berkata seramai 6,462 mangsa berjaya diselamatkan, manakala 856 bangunan mengalami kerosakan dan 190 lagi runtuh.
Pihak berkuasa turut mengagihkan sebanyak 9,603 tan metrik makanan dan lebih 9.6 juta liter air, selain memberikan rawatan kepada 27,398 pesakit, katanya.
Rodriguez berkata seramai 30,076 anggota serta 28,992 sukarelawan telah digerakkan bagi operasi bantuan, dengan sokongan 4,388 anggota penyelamat antarabangsa.
Sebanyak 87 kem sementara telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang kehilangan tempat tinggal, manakala pihak berkuasa merekodkan 1,102 gempa susulan sejak gempa bumi pertama melanda.
Menurut Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat (USGS), dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter melanda negara Amerika Selatan itu pada 24 Jun, dengan sela waktu hanya 39 saat.
Gempa bumi itu mengakibatkan kemusnahan meluas sehingga mencetuskan operasi bantuan kemanusiaan berskala besar di peringkat nasional dan antarabangsa.













Tinggalkan Balasan