ISTANBUL, 9 Julai — Beberapa letupan kedengaran di Iran pada malam Rabu, tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengancam untuk melancarkan satu lagi siri serangan ke atas negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Agensi Berita Mehr melaporkan lapan letupan berlaku di Bandar Abbas di selatan Iran.
Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan kira-kira 10 letupan turut kedengaran di Chabahar dan Konarak di tenggara Iran, selain bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan di Chabahar.
Menurut Agensi Berita Mehr, letupan turut kedengaran di beberapa kawasan di wilayah Bushehr di barat daya Iran.
Penyiar rasmi Iran, IRIB melaporkan letupan turut berlaku di perkampungan Tahrouyi berhampiran Sirik, di Pulau Abu Musa berhampiran Selat Hormuz, serta di bandar pelabuhan Jask di tenggara negara itu.
Mehr melaporkan sistem pertahanan udara Iran bertindak memintas “sasaran musuh” di sekitar Bandar Abbas.
Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) mengesahkan bahawa tentera AS telah memulakan satu lagi siri serangan ke atas Iran, yang bertujuan melemahkan keupayaan Tehran untuk mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Trump sebelum itu berkata Washington “mungkin” melancarkan satu lagi serangan ke atas Iran pada malam Rabu, selepas serangan AS semalaman sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas kapal-kapal di Selat Hormuz.













Tinggalkan Balasan