Angka Korban Monsun Di Pakistan Hampir Cecah 100 Orang

ISLAMABAD, 26 Julai — Angka kematian akibat musim monsun di Pakistan meningkat kepada 97 orang selepas 11 lagi dilaporkan terkorban manakala 25 yang lain cedera dalam kejadian berkaitan hujan berterusan sejak 24 jam lepas, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) pada Sabtu, lapor Xinhua.

Wilayah Punjab di bahagian timur kekal sebagai kawasan teruk terjejas dalam tempoh laporan terbaharu itu, mencatatkan tujuh kematian dan 20 kecederaan. Wilayah Sindh di selatan melaporkan dua kematian dan dua kecederaan, manakala Wilayah Khyber Pakhtunkhwa (KP) di barat laut serta wilayah Gilgit-Baltistan di utara masing-masing mengesahkan satu kematian. KP turut melaporkan tiga mangsa cedera.

NDMA memaklumkan jumlah kumulatif mangsa yang tercedera sejak bermulanya musim monsun pada 26 Jun kini mencecah 297 orang.

Hujan lebat terkini turut merosakkan 22 rumah dan mengorbankan lapan ekor ternakan, menjadikan jumlah keseluruhan musim ini sebanyak 447 rumah rosak dan 269 ternakan terkorban di seluruh negara.

NDMA menggesa penduduk, terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi nasihat keselamatan rasmi memandangkan hujan monsun diramal berterusan di beberapa bahagian di negara itu.