China bersedia bekerjasama dengan Tajikistan bagi memperkukuh kepercayaan strategik dan sokongan bersama, sekali gus meningkatkan kerjasama menyeluruh antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, serta mencapai lebih banyak hasil konkrit demi kesejahteraan rakyat masing-masing.
Demikian dinyatakan oleh Perdana Menteri China, Li Qiang semasa menghadiri pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Tajikistan, Qohir Rasulzoda di Dushanbe, ibu negara Tajikistan pada Ahad.
Beliau juga menyatakan kesediaan China untuk menyelaras strategi pembangunan dengan Tajikistan, serta memperkukuh kerjasama menerusi pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di samping memperkasa kerjasama dalam sektor perdagangan, pelaburan, mineral hijau, kesalinghubungan, tenaga bersih dan kecerdasan buatan (AI), demi mencapai manfaat bersama.
Ujar Li, tahun hadapan juga menandakan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara China dengan Tajikistan.
Pada masa yang sama, beliau turut menzahirkan kesediaan China untuk meningkat import produk berkualiti dari Tajikistan, serta menggalakkan lebih banyak syarikat China melabur di negara itu, serta berharap Tajikistan terus menawarkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi syarikat China.
Li turut menekankan kepentingan memperluas pertukaran dan kerjasama dalam bidang kebudayaan, pendidikan, kesihatan, sukan serta urusan di peringkat daerah.
Pada masa sama, kedua-dua negara perlu memperkukuh kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan bagi memastikan persekitaran yang stabil dan aman untuk pergerakan rakyat kedua-dua negara, ujar Li.
Sementara itu, Rasulzoda berkata hubungan Tajikistan-China kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah, hasil kepimpinan dan hala tuju strategik yang digariskan oleh pemimpin kedua-dua negara.
Beliau berkata China merupakan rakan dagang dan pelaburan yang paling penting bagi Tajikistan, selain merakamkan penghargaan atas sokongan kukuh dari China kepada usaha memacu pembangunan sosioekonomi Tajikistan sejak sekian lama.











Tinggalkan Balasan