MUNICH, 28 Julai — Pendaftaran kenderaan elektrik global terus meningkat pada separuh pertama tahun ini, namun kadar pertumbuhannya perlahan dengan ketara, menurut kajian firma perunding PwC yang meliputi 43 pasaran utama, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Kira-kira 6.6 juta kenderaan elektrik berkuasa bateri sepenuhnya (BEV) baharu didaftarkan, meningkat sembilan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Bagaimanapun, kadar pertumbuhan itu jauh lebih perlahan berbanding peningkatan lebih satu pertiga yang dicatatkan pada separuh pertama 2025 dan hampir satu pertiga bagi keseluruhan tahun berkenaan.
China menjadi penyumbang utama kepada kelembapan itu apabila pendaftaran BEV di pasaran kenderaan elektrik terbesar dunia menyusut lima peratus kepada hampir 3.6 juta unit pada separuh pertama tahun ini, menurut PwC.
Bagaimanapun, pendaftaran kembali mencatatkan sedikit peningkatan pada suku kedua.
Pada masa sama, penyusutan keseluruhan pasaran automotif China menyebabkan kenderaan elektrik merangkumi 44 peratus daripada semua pendaftaran kenderaan baharu di negara itu pada suku berkenaan.
Pendaftaran BEV di Amerika Syarikat (AS) turut merosot, dengan kira-kira 460,000 unit direkodkan pada separuh pertama tahun ini, susut 22 peratus berbanding tempoh sama pada 2025.
Kenderaan elektrik sepenuhnya hanya menguasai enam peratus pasaran AS, berbanding prestasi yang lebih kukuh di Eropah.
Di seluruh Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom (UK), Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland, PwC merekodkan hampir 1.6 juta pendaftaran BEV, meningkat 33 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Angka itu menyaksikan kenderaan BEV menguasai 22 peratus daripada pasaran kenderaan baharu di rantau berkenaan.
Pertumbuhan ketara direkodkan khususnya di Perancis, Itali dan Jerman.
Jerman sekali lagi muncul sebagai pasaran tunggal terbesar di Eropah, mengatasi Britain dan Perancis.
“Perkembangan harga minyak bertindak sebagai pemangkin luaran kepada penggunaan mobiliti elektrik,” kata Harald Wimmer daripada PwC.
“Bagaimanapun, faktor penentu utama ialah kematangan teknologi model generasi semasa, termasuk jarak perjalanan yang jauh, harga kompetitif dan kelebihan jelas dari segi kos operasi.
“Faktor itu mengubah dinamik pasaran secara berpanjangan,” kata beliau.













Tinggalkan Balasan