SEREMBAN, 18 Julai — Sebanyak 103 calon disahkan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, dengan 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata kesemua pencalonan itu disahkan selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi di lapan pusat penamaan calon (PPC) di seluruh negeri ini.
Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) mendominasi saingan dengan menampilkan 36 calon, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 25 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 24 calon dan Perikatan Nasional (PN) 11 calon.
“Turut memeriahkan proses demokrasi kali ini ialah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masing-masing menghantar seorang wakil, selain empat calon Bebas,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Ramlan berkata sebanyak 21 kerusi DUN menyaksikan saingan tiga penjuru, manakala 11 kerusi membabitkan pertembungan satu lawan satu.
Katanya, terdapat dua kerusi DUN, iaitu Nilai dan Sri Tanjung menyaksikan pertandingan lima penjuru manakala empat penjuru membabitkan DUN Jeram Padang dan Rahang.
Beliau berkata daripada jumlah calon bertanding, 94 adalah lelaki manakala sembilan lagi wanita manakala calon tertua berusia 70 tahun di DUN Gemencheh mewakili PH dan calon paling muda berusia 23 tahun daripada Bersatu di DUN Sri Tanjung.
DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi dibubarkan pada 5 Jun lepas dan SPR menetapkan 28 Julai ini sebagai hari pengundian awal, manakala 1 Ogos ialah hari mengundi.
Sebanyak 889,490 pemilih layak mengundi pada PRN kali ini, terdiri daripada 867,151 pengundi biasa, 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.















Tinggalkan Balasan