REMBAU, 18 Julai — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan jentera parti supaya tidak menjadikan isu adat sebagai bahan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memastikan proses demokrasi berlangsung dalam suasana harmoni.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata adat perlu dihormati sebagai satu perkara yang berdiri sendiri dan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan politik kerana tindakan itu boleh mengeruhkan keadaan.
“Saya dah terangkan dan pesan… saya minta supaya dalam masa kempen ini, kita jangan sentuh tentang adat… kita tidak perlu menggunakan isu adat sebagai bahan kempen,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini hari ini.
Mengulas mengenai kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini, beliau berkata kedua-duanya akan meneruskan persefahaman bagi membantu memaksimumkan sokongan pengundi di kawasan yang tidak ditandingi BN sekali gus memastikan calon kedua-dua gabungan memperoleh kemenangan di semua 36 kerusi.
“Kita menjalankan persefahaman bukannya bergabung seperti di Johor sebelum ini… jadi, saya harap di Negeri Sembilan kita bantu-membantu supaya usaha untuk dapat sokongan pengundi dapat dimaksimumkan,” katanya.
DUN Negeri Sembilan, yang memiliki 36 kerusi, dibubarkan pada 5 Jun lepas dan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh pengundian manakala undi awal pada 28 Julai ini.

















Tinggalkan Balasan