Pembangunan Pesat Sarawak Disokong Kesediaan Rakyat Terima Perubahan – Abang Johari

MUKAH, 17 Julai — Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perpaduan, kestabilan politik dan kesediaan rakyat untuk menerima perubahan telah menjadi asas penting bagi transformasi pembangunan pesat negeri itu.

Beliau berkata walaupun kerajaan merangka dasar dan melaksanakan pelan pembangunan, idea dan sokongan datang daripada rakyat.

“Input itu sendiri datangnya daripada rakyat. Saya hanyalah pelaksana,” katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, di Daro, hari ini.

Abang Johari berkata agenda pembangunan Sarawak kekal tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi yang seimbang, pengembangan infrastruktur dan pembangunan modal insan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

Beliau berkata kedudukan kukuh negeri itu peringkat antarabangsa disumbang menerusi status karbon negatifnya hasil daripada usaha pemuliharaan hutan dan pelaburan dalam hidrogen, solar serta tenaga boleh baharu lain, manakala pengembangan grid elektrik telah menggantikan penjana diesel di banyak kawasan di luar bandar.

Abang Johari berkata Sarawak juga banyak melabur dalam bakat masa depan dengan menyediakan pendidikan tinggi percuma untuk rakyat yang layak dalam bidang strategik.

Selain itu, katanya, kerajaan juga merancang untuk melancarkan satelit nanonya sendiri menjelang 2030, dengan kecerdasan buatan (AI) berfungsi sebagai alat untuk menambah baik tadbir urus dan pembuatan dasar.

Sementara itu mengenai pembangunan Daro, beliau berkata jambatan dan jalan raya baharu telah memperkukuh hubungan daerah itu dengan Sarikei, Tanjung Manis dan Delta Rajang manakala jalan utama bandar tersebut akan dinaik taraf menjadi lebuh raya berkembar di samping projek tepi laut untuk meningkatkan pelancongan dan aktiviti ekonomi.

Selain itu, katanya, grid air seluruh negeri yang dijangka siap menjelang 2030, akan meningkatkan keterjaminan air dan mewujudkan peluang untuk mengeksport air terawat.

“Daro, Belawai dan Tanjung Manis juga telah diperuntukkan sebagai kawasan pertumbuhan pelancongan baharu,” katanya.

Abang Johari berkata Sarawak juga sedang bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan rangka kerja kawal selia bagi perdagangan dan penyimpanan karbon bagi menjana pendapatan jangka panjang yang baharu.