Polis P. Pinang Bongkar Sindiket Pemerdagangan Orang, tumpas Empat Pusat Panggilan Penipuan

GEORGE TOWN, 17 Julai — Polis membongkar kegiatan pemerdagangan dan eksploitasi manusia selain menumpaskan empat pusat panggilan dipercayai menjalankan kegiatan pelaburan tidak wujud menerusi beberapa serbuan berasingan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Timur Laut semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata operasi pertama membabitkan serbuan di sebuah premis di Jalan Utara, Berapit, Bukit Mertajam pada 7 malam, selepas polis menerima laporan daripada wakil komuniti Cameroon di Malaysia berhubung seorang wanita warga Cameroon berusia 25 tahun yang dipercayai dikurung serta dieksploitasi.

“Polis berjaya menyelamatkan mangsa dan menahan seorang lelaki warga Taiwan dipercayai bertindak sebagai majikan serta pengendali kegiatan tersebut, selain menahan 29 warga asing termasuk sembilan wanita yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita terbabit dipercayai dibawa dari Kemboja ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas diperdaya dengan tawaran pekerjaan sebelum tidak dibayar gaji selama setahun.

Lim berkata pergerakan mangsa turut dikawal dan pasportnya dipegang sindiket bagi menghalangnya melarikan diri, manakala mangsa hanya dibenarkan menggunakan telefon bimbit sekali sehari sebelum berjaya menghubungi keluarganya di Cameroon untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata lelaki warga Taiwan itu pula ditahan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), manakala 28 warga asing ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 selain merampas beberapa telefon bimbit serta barangan yang digunakan.

Operasi kedua pula membabitkan serbuan terhadap empat premis yang dijadikan pusat panggilan bagi kegiatan penipuan pelaburan tidak wujud di Taman Pantai Batu, Tanjung Bungah; Villa Moonlight Bay, Batu Ferringhi; Taman Bukit Dumbar, Gelugor; dan Jalan Sungai Kelian di sini.

Lim berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Timur Laut itu membawa kepada penahanan 80 individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan 79 warga asing dari China, Vietnam serta Kemboja yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

“Siasatan awal mendapati premis-premis itu telah beroperasi lebih sebulan dengan dijadikan tempat tinggal pekerja sindiket yang dipercayai direkrut melalui platform dalam talian atau ejen sebelum dibawa ke Malaysia.

“Mereka ditawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji antara RM3,200 hingga RM5,000 sebulan untuk menghubungi dan memujuk mangsa menyertai skim pelaburan tidak wujud,” katanya.

Lim berkata polis turut merampas telefon bimbit dan pelbagai barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan penipuan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.