GEORGE TOWN, 11 Ogos — Dr David Lacey telah dilantik sebagai Konsul United Kingdom (UK) yang baharu di Pulau Pinang menggantikan Datuk Robert Hawkins MBE yang bersara selepas berkhidmat dalam jawatan itu selama 20 tahun.
Kenyataan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur hari ini memaklumkan sebagai konsul, Lacey, 60, akan membantu memperkukuh hubungan politik, akademik dan komersial dengan menjalinkan kerjasama rapat dengan pemimpin Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta komuniti perniagaan tempatan.
Lacey turut bertanggungjawab membantu rakyat British di Pulau Pinang termasuk menziarahi mereka yang menerima rawatan di hospital atau ditahan di penjara, menguruskan perkara berkaitan sekiranya berlaku kematian warga British dan menyokong respons UK ketika berdepan krisis.
“Lacey ialah tokoh terkemuka dalam industri semikonduktor dengan pengalaman luas di Eropah, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia selain pernah menubuhkan pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang menghasilkan produk serta teknologi baharu untuk dipasarkan.
“Beliau juga berpengalaman luas dalam bidang penyelidikan kolaboratif serta pembangunan bakat bersama dengan universiti dan institut di seluruh Asia,” menurut kenyataan itu.
Lacey kini berkhidmat sebagai pengarah di sebuah syarikat berteknologi tinggi terkemuka dalam industri semikonduktor di Pulau Pinang dan ialah Pengerusi Persatuan Fabrikasi Semikonduktor Malaysia (SFAM), anggota lembaga Collaborative Research in Engineering, Science & Technology (CREST) serta penasihat Akademi Sains Malaysia (ASM).
Beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Bahan sebelum memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (D.Phil) daripada Universiti Sussex, United Kingdom, dan pada 2021, Lacey dianugerahkan Ijazah Doktor Sains Kehormat oleh Universiti Sains Malaysia (USM) atas sumbangannya terhadap pembangunan ekonomi Malaysia.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma berkata selain membantu rakyat British di Pulau Pinang, Lacey yang menetap di negeri berkenaan sejak tahun 2001, akan menyokong Suruhanjaya Tinggi dalam memperkukuh kerjasama dengan Pulau Mutiara dan wilayah utara.
“Kerjasama itu khususnya dalam sektor teknologi, digital serta kecerdasan buatan selaras dengan usaha UK dan Malaysia untuk merealisasikan Perkongsian Strategik.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Robert Hawkins atas khidmat cemerlang beliau selama 20 tahun kepada komuniti British di Pulau Pinang dan Suruhanjaya Tinggi,” katanya.
















Tinggalkan Balasan