GUA MUSANG, 21 Okt — Lebih 100 penduduk Orang Asli suku Temiar terputus hubungan selepas jambatan gantung Kampung Brooke Lama dihanyutkan arus deras dan banjir lumpur dalam kejadian kepala air yang melanda Sungai Belatop di Pos Brooke di sini petang semalam.
Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata kejadian itu menjejaskan urusan harian penduduk, termasuk menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan kesihatan.
Beliau berkata hujan kira-kira 4 petang sebelum kejadian kepala air sekitar 5.30 petang, menyebabkan arus deras menghentam jambatan hingga runtuh dan tiang konkritnya patah.
“Keadaan ketika itu amat menakutkan kerana arus deras dan berlumpur turut melimpah sehingga ke atas jalan berdekatan dengan rumah penduduk,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata jambatan yang dibina pada 2008 itu menjadi laluan penduduk ke Sekolah Kebangsaan Pos Brooke dan Klinik Kesihatan Pos Brooke, namun kini mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh menuju Kampung Liak dan Kuala Rengil.
Sementara itu, Pengarah JAKOA Negeri Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata kira-kira 44 keluarga terjejas dan pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Sebahagian penduduk berlindung di Dewan Terbuka Pejabat JAKOA Pos Brooke manakala jambatan itu pernah mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 2023 berhubung isu keselamatan, dengan Kesedar dan JAKOA diminta mengambil tindakan pembaikan atau penambahbaikan.













Tinggalkan Balasan