Pegawai Polis Dituntut Berfikir Kritis, Bertindak Pantas Depani Evolusi Kepolisan – KPN

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail menuntut setiap pegawai polis agar terus berfikir secara kritis, bertindak pantas dan kekal relevan dengan perubahan zaman bagi mendepani dunia kepolisan yang mencabar serta bergerak pantas. 

Beliau berkata memandangkan landskap keselamatan sentiasa menuntut evolusi berterusan, para pegawai tidak seharusnya berasa selesa dengan kedudukan atau pencapaian yang dikecapi pada hari ini. 

“Kenaikan pangkat ini bukanlah satu kemuncak dalam kerjaya, sebaliknya ia merupakan titik permulaan bagi tanggungjawab yang jauh lebih mencabar,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Lencana Pangkat Kehormat di Mes Pegawai Kanan Polis, Bukit Aman di sini hari ini. 

Mohd Khalid berkata pangkat disandang merupakan amanah rakyat dan negara yang wajib dipikul dengan penuh ketelusan, kebijaksanaan, serta keikhlasan bagi memastikan keamanan terus terpelihara. 

Pada majlis tersebut, sebanyak 29 Pegawai Kanan Polis diraikan atas kejayaan dinaikkan pangkat Komisioner Polis (CP), Deputi Komisioner Polis (DCP), Senior Asisten Komisioner (SAC), dan Asisten Komisioner Polis (ACP). 

Majlis berkenaan turut menyaksikan penganugerahan pangkat kehormat kepada tiga individu sebagai cerminan strategi PDRM dalam meluaskan jaringan kerjasama. 

Mereka ialah Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen yang dianugerahkan pangkat ACP Kehormat, manakala Aini Suraya Osman dan Adila Abdullah masing-masing menerima pangkat DSP Kehormat.