KOTA BHARU, 12 Ogos — Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki berperanan sebagai transporter membawa warga asing yang masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan di Sungai Golok ke stesen bas.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Ahmad Radzi Hussain berkata suspek ditahan bersama seorang lelaki warga Indonesia dalam Ops Taring Wawasan Kelantan berhampiran Pintu 1 Kompleks Bebas Cukai Rantau Panjang, Pasir Mas kira-kira 10 malam semalam.
Beliau berkata anggota yang menjalankan rondaan mengesan sebuah motosikal Demak 135 LC berwarna merah dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan ketika keluar dari kawasan pangkalan haram.
“Hasil soal siasat mendapati lelaki tempatan itu tinggal di sekitar Rantau Panjang dan bekerja sebagai buruh, selain melakukan kerja sambilan sebagai transporter dengan mengenakan bayaran RM10 untuk membawa pelanggan, kebiasaannya warga asing yang masuk melalui sungai ke stesen bas.
“Pemeriksaan terhadap warga Indonesia berkenaan pula mendapati dia tidak mempunyai cop masuk ke Malaysia dan mengaku masuk melalui Sungai Golok menggunakan laluan tidak diwartakan di sekitar pangkalan haram Azizah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Warga Indonesia itu dilaporkan tiba di Lapangan Terbang Hat Yai, Thailand dari Indonesia pada 10 Ogos sebelum menaiki bas ke kawasan Sungai Golok untuk masuk ke Malaysia dan merancang meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur bagi bertemu rakannya.
Dalam operasi itu, PGA turut merampas sebuah motosikal bernilai kira-kira RM4,000, dua telefon bimbit dan sebuah pasport, dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM6,000.
Ahmad Radzi berkata kedua-dua lelaki diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala saringan awal air kencing kedua-duanya negatif.
















Tinggalkan Balasan