Sekolah Di Negeri Sembilan Beroperasi Seperti Biasa Esok

SEREMBAN, 11 Okt — Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan akan beroperasi seperti biasa esok berdasarkan pemantauan keadaan semasa dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) terkini.

Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memaklumkan pihak sekolah bagaimanapun perlu sentiasa memantau keadaan kualiti udara, mematuhi garis panduan ditetapkan serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kesihatan murid dan warga sekolah terpelihara.

“Murid juga disarankan memakai pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya mereka yang mengalami gejala pernafasan atau tergolong dalam kumpulan berisiko,” menurut JPNS menerusi kenyataan di sini hari ini.

JPNS memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat rasmi jika terdapat sebarang perubahan. 

Ibu bapa dan penjaga juga diminta sentiasa mengikuti saluran rasmi jabatan itu untuk sebarang maklumat terkini.