Aminuddin Nafi Berlaku Perpecahan Di Port Dickson

PORT DICKSON, 20 Julai — Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam kalangan kepimpinan dan jentera di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Port Dickson.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu berkata sebaliknya kepimpinan dan jentera telah bekerjasama dengan baik bagi memenangkan calon PH yang bertanding DUN Chuah, Lukut, Sri Tanjung, Bagan Pinang dan Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR berkata isu yang timbul berikutan pencalonan semula penyandang kerusi DUN Chuah Datuk Yew Boon Lye oleh Timbalan Ketua Cabang PKR Port Dickson Datuk Kenny Chiew Chi Kin seperti yang tular menerusi media sosial sebelum ini, telah diselesaikan secara dalaman.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata Chiew telah memberi jaminan untuk memberi sokongan penuh kepada semua calon PH yang bertanding.

“Beliau telah memberikan perkhidmatan yang baik kepada parti dan bekerja keras untuk memastikan kekuatan cabang terus diperkukuh walaupun beliau tidak tercalon. Sebagai Timbalan Ketua Cabang Port Dickson sudah pasti beliau mahukan kemenangan di semua kerusi yang ditandingi PH.

“Saya mengucapkan terima kasih atas semangat beliau yang bersama membantu semua calon dalam memastikan kemenangan di kelima-lima kerusi DUN yang ditandingi PH di Parlimen Port Dickson,” kata Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media di sini hari ini.

Aminuddin yang juga calon PH bagi DUN Linggi berkata spekulasi berkenaan sengaja diwujudkan oleh pihak tertentu bertujuan untuk memberi gambaran negatif terhadap PH.

Pada PRN 2023, Yew mempertahankan kerusi DUN Chuah dengan majoriti 6,298 undi menewaskan  calon Perikatan Nasional (PN) Tang Jay Son dan bagi PRN kali ini, Yew dicabar Pau Jeou Ching daripada Barisan Nasional (BN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai manakala hari mengundi pada 1 Ogos ini.