KUALA LUMPUR, 16 Nov — Malaysia dan Laos bersetuju mempergiat kerjasama ekonomi dan perdagangan dua hala, khususnya dalam bidang tenaga boleh baharu, infrastruktur, pengangkutan serta logistik bersempena dengan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan menerusi pertemuannya dengan rakan sejawat dari Laos, Saleumxay Kommasith di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 yang sedang berlangsung di Manila, Filipina.
Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain mengucapkan tahniah atas pelantikan Saleumxay sebagai Perdana Menteri Laos bulan lepas, pertemuan itu turut menjadi ruang dalam memperkukuh keakraban hubungan dua hala.
Menyentuh tentang perdagangan dua hala, Perdana Menteri berkata jumlah dagangan antara Malaysia dengan Laos bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun lepas meningkat 28.7 peratus kepada USD55.9 juta.
Beliau berkata kedua-dua negara turut sepakat mempergiat kerjasama menerusi penganjuran Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) ke-4 di Vientiane pada 2027, di samping memuktamadkan jalinan kerjasama dalam sektor pendidikan tinggi dan pelancongan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung dari 15 hingga 17 Nov di bawah kepengerusian Filipina.
















Tinggalkan Balasan